GaYa RamBuT

TIDAK lengkap diri tanpa tubuh dibaluti gaya terkini. Selepas setia dengan gaya tipikal, mungkin sekarang masanya melakukan eksperimen terbesar dalam hidup. Ketepikan kata-kata pengkritik andai hati mahukan perubahan.

Membuat perubahan tidak terhad pada sikap dan komitmen bekerja, sebaliknya penampilan diri harus dititikberatkan. Bukan saja tampil bergaya dengan potongan rambut terkini, apa kata beranikan diri bermain dengan pesona warna.

Usah malu menyuntik sedikit kelainan, apatah lagi perubahan positif mampu meningkatkan motivasi diri.

Menyingkap tabir baru 2009, apa kata berikan perhatian pada penampilan melalui idea gaya baru, malah apa salahnya menjadi trend setter. Gaya rambut lama mungkin berubah andai diwarnakan mengikut trend semasa.

2009 meletakkan potongan rambut lebih natural dengan gaya sisir tepi membawa elemen klasik. Tiada lagi imej rambut terpacak, sebaliknya gaya potongan rambut lelaki bersifat lebih gentleman serta menampakkan identiti maskulin.

Begitu juga potongan baju lebih realistik melatari tahun baru. Sesetengah rekaan menjurus kepada imej seksi pada leher baju, selain potongan seluar lebih ketat yang menampakkan bentuk kaki lelaki panjang dan komersial.

Rasanya, masih belum terlambat untuk jejaka mengintai konsep gaya 2009. Tidak perlu berbelanja lebih, cukup dengan menguji kreativiti diri seperti memotong baju dan memadan suai pakaian lama dengan yang baru.

Selamat bergaya!

Potongan rambut

MENGINTAI potongan rambut terkini si jejaka menyaksikan gaya potongan fringe melatari imej baru lelaki 2009. Berinspirasi potongan rambut wanita, elemen klasik dan lebih santai menjadi garapan gaya maskulin lelaki.

Namun potongan rambut sisir ke tepi hanya sesuai buat lelaki yang berwajah bujur dan bersegi. Faktor potongan mempengaruhi penampilan. Tidak perlu memakai minyak rambut, sekadar disisir kemas untuk gaya lebih semula jadi.

Seperti model yang menggayakan koleksi pakaian lelaki Bottega Veneta untuk Musim Bunga/Musim Panas 2009 jelas menunjukkan gaya sensasi potongan rambut asli.

Selain itu, gaya potongan Clooney Cut ilham gaya rambut aktor, George Cloone menjadi ikutan popular tahun ini.

Warna pilihan

MUNGKIN ramai tertanya-tanya warna yang menjadi ilham gaya tahun ini. Bukan mustahil warna menjadi fungsi penting melengkapi aura gaya seseorang. Tahun ini, warna biru cerah menjadi identiti jejaka. Warna biru serulean bisa mewarnai dunia lelaki tahun ini.

Selain warna biru serulean, elemen emas dan perak melengkapi gaya sensual jejaka. Seperti warna emas yang ditonjolkan pada rumah fesyen Dior Homme, Louis Vuitton , Gucci dan jenama kasut sniker Converse - semuanya meletakkan fungsi mewah sebagai teas untuk disesuaikan dengan peribadi lelaki.

Tidak ketinggalan, warna perak berkilau menampakkan ciri mewah dan eksklusif.


Pakaian

Tahun ini menampakkan kemajuan pilihan gaya lelaki. Tiada lagi bahasa klise kononnya fesyen lelaki terhad kerana cita rasa sudah berubah. Kini idea dan inovasi gaya meletakkan lelaki pada landasan fesyen lebih terbuka.

Pesona tahun ini tentunya pada rekaan berunsur seksi dan maskulin. Seperti potongan leher V panjang ke bawah yang menampakkan sebahagian potongan dada. Unsur seksi tidak keterlaluan, sebaliknya diukur melalui rekaan bernuansakan cita rasa fesyen hangat.

Potongan sut jejaka pula tidak banyak berubah seperti koleksi pakaian tahun lalu dengan potongan mengikut badan serta ramping.

Oleh Fairuz Zaidan
beritaharian

0 Comments:

Post a Comment