Memaparkan catatan dengan label Info Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info Sukan. Papar semua catatan

Kalah kita bermaruah

http://www.blogger.com/img/blank.gif
KUALA LUMPUR – Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyifatkan kekalahan 2-3 kepada Manchester United, semalam sebagai kekalahan yang bermaruah.

Menurut Rajagobal, walaupun kalah, kemenangan tipis United ke atas skuad muda negara boleh dijadikan pencetus semangat kebangkitan bola sepak negara.

Katanya, kegopohan dan aksi teragak-agak jentera depan yang diterajui Zaquan Adha Abdul Razak, Mohd. Amri Yahyah dan Indra Putra Mahayuddin menafikan hasrat Malaysia sekurang-kurangnya mengikat juara Liga Perdana England itu.

“Keputusan perlawanan ini tetap menggembirakan saya. Saya berpuas hati kerana kita berjaya membolosi dua kali gawang United terutama ketika Amri menewaskan Edwin van der Sar.

“Para pemain mengambil setiap peluang yang ada, mereka beraksi dengan penuh keyakinan. Mereka menikmati perlawanan dengan pemain terbaik di dunia.

“Menentang pasukan terkuat di dunia bukanlah tugas mudah. Memang United menang tipis, tetapi kita harus sedar bahawa United datang ke sini bukan sekadar untuk menghiburkan peminat mereka.

“Mereka bermain untuk menang. Kita sendiri dapat melihat bagaimana aksi mereka yang pantas menjaringkan dua gol di babak pertama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, semalam.

United di depan menerusi jaringan Wayne Rooney (minit ke-70) dan Nani pada minit ke-27. Michael Owen menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.

Amri Yahyah menggamatkan 80,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan pada minit ke-45 dan gol penyamaan pada minit ke-51.

Tambah Rajagobal, pada awal perlawanan, para pemainnya sukar mencari rentak akibat permainan pantas pasukan lawan.

“Namun, apabila kita berjaya meraih gol menerusi Amri, keyakinan pemain semakin memuncak dan bangkit dengan permainan agresif di babak kedua.

“Ya... Mungkin banyak pertukaran pemain kita di babak kedua menjejaskan sedikit rentak permainan Malaysia sehingga terpaksa melepaskan gol kemenangan kepada lawan.

“Keputusan ini diharap dapat memberi kesan positif kepada peminat bola sepak tanah air.

“Apa yang saya harapkan ialah pasukan ini akan terus konsisten,” katanya.

Ditanya kemungkinan beliau akan memanggil pemain senior untuk perlawanan kedua menentang United, esok Rajagobal berkata, dia tidak akan membuat sebarang perubahan.

“Tidak... Tiada pemain lain yang akan dipanggil. Lagipun mustahil bagi mana-mana pemain untuk mengadakan latihan hanya sehari bagi menentang pasukan seperti United,” katanya.

"Saya berharap agar pemain kita mengambil peluang sebaik mungkin pada perlawanan ulangan Isnin ini (esok)," jelas Rajagobal.

Sebelum beredar daripada sesi sidang media tersebut, Rajagobal sempat memberi pesanan kepada Ferguson: "Saya harap anda dapat mengambil seorang dua pemain Malaysia untuk United."


Utusan Malaysia


LONDON: Chelsea memberi Guus Hiddink hadiah istimewa sebagai tanda perpisahan apabila jaringan kemenangan Frank Lampard membantu pasukan itu menewaskan Everton 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley, malam tadi.

Hiddink yang bertindak selaku pengurus sementara akan kembali mengemudi skuad kebangsaan Russia sepenuh masa Jun ini tetapi dia akan sentiasa dikenang di Stamford Bridge selepas memimpin Chelsea mendakap trofi pertama dalam tempoh dua tahun.

Lampard yang meledakkan gol penting bagi pasukan pada minit ke-72 berkata jaringan kemenangan olehnya adalah untuk ibu tersayang yang meninggal dunia, tahun lalu.

“Kami menunjukkan perwatakan baik dan menguasai perlawanan selepas babak pertama,” kata Lampard.

“Gol kemenangan ini juga menceritakan bagaimana ayah saya (Frank senior) menyambut jaringan yang hebat pernah dilakukannya dulu. Ibu saya akan menghargainya.”

Apapun, Everton melakukan permulaan sempurna apabila Louis Saha merembat masuk gol pertama ketika permainan hanya berusia 25 saat untuk merakamkan namanya dalam sejarah Piala FA selaku penjaring terpantas.

Namun, penyerang Ivory Coast, Didier Drogba tampil menanduk masuk pada minit ke-21 sebelum rembatan jarak jauh Lampard mengesahkan kemenangan kelima bagi kelabnya dalam kejohanan itu dan detik ceria buat Hiddink.

Ia juga malam indah buat pemain pertahanan Chelsea, Ashley Cole untuk muncul pemain pertama dalam tempoh lebih 100 tahun untuk memenangi lima pingat Piala FA.

Bagi Drogba ia harus menebus rasa kecewa tewas dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah kepada Barcelona.

“Saya amat gembira. Kami memerlukan untuk memenangi trofi musim ini dan kami percaya dapat melakukan. Hiddink mengubah wajah cabaran kami malam ini (malam tadi),” katanya. - AFP


VICTOR (kanan) bersaing dengan Mohammed Jaffer Ali dari Al-Muharraq pada perlawanan suku akhir pertama Piala AFC di Bahrain kelmarin.


PERBEZAAN masa dan suasana bermain pada bulan puasa menjadi antara alasan kegagalan pasukan Kedah apabila dibelasah 0-5 oleh kelab Al-Muharraq dari Bahrain pada saingan suku akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFC di Stadium Nasional, Bahrain kelmarin.

Namun aksi anak didik Mohd. Azraai Khor Abdullah itu juga patut dipuji kerana kesebelasan yang tempang tanpa pemain import mampu bertahan hingga minit ke-60 sebelum tewas akibat keletihan.

Menurut Azraai, perubahan masa di Bahrain yang lewat lima jam belum dapat disesuaikan pemainnya yang hanya mempunyai masa sehari untuk menyesuaikan diri sebelum perlawanan bermula.

"Mereka (pemain) bermain pada pukul 2.15 pagi waktu Malaysia dan 10.15 malam waktu Bahrain dan keadaan itu sebenarnya belum dapat disesuaikan lagi oleh pemain Kedah.

"Selain itu, faktor bermain di bulan puasa juga telah membuat pemain menjadi cepat letih sekali gus memberi ruang kepada lawan untuk mengusai perlawanan pada penghujung perlawanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, dia melihat barisan pemain tempatan pasukan Hijau Kuning adalah setanding dengan pemain Al-Muharraq yang dibarisi pemain import dan kebangsaan kerana kesebelasan utamanya masih mampu mengekang asakan lawan.

Menurutnya, kesebelasan yang diturunkan telah berusaha bermati-matian untuk membawa pulang kemenangan tetapi keletihan ternyata tidak dapat disembunyikan apabila gawang Kedah dibocor lima kali bermula pada minit ke-65.

Azraai berkata, masalah perbezaan masa dan suasana yang menghantui anak buahnya itu bakal dilalui pemain lawan apabila mereka bertandang ke Stadium Darulaman, Alor Star pada 23 September ini.

Katanya lagi, walaupun ruang untuk Kedah mara ke separuh akhir semakin sukar namun dia masih menaruh harapan untuk pemainnya bangkit menebus kekalahan itu.

Tambahnya, pasukannya pernah bangkit dalam perlawanan sukar sebelum ini dan tidak mustahil juga jika Kedah dapat melangkah ke separuh Piala AFC selepas ini.

Antara pemain yang menguatkan pasukan Kedah pada perlawanan itu ialah Saramsak Kram, Khyril Muhymeen, Fadzly Baharom, Badrol Bakhtiar, Fauzi Shaari, Mohd. Sabree Abu, Victor Andrag, Fazliata Taib, V. Thirumurugan, Shafizan hashim dan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.

KOSMO
Sukan
18 September 2008

Kedah ada peluang


Khyril Muhymeen menjadi sandaran Kedah

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Jika Kedah kehilangan trio importnya - Marlon Alex James, Bernard Huggins dan Nelson San Martin, nasib Al Muharraq pula lebih teruk kerana turun ke suku akhir pertama bola sepak Piala AFC hari ini tanpa enam tonggak yang masih bersama skuad kebangsaan Bahrain.

Ia sekali gus membuka sedikit peluang untuk juara tiga piala Liga Malaysia itu menyambar sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Kebangsaan, Manama sebagai bekalan semangat apabila menanti lawan di Alor Star dalam suku akhir kedua, 23 September ini.

Ketiadaan mereka disahkan oleh jurulatih Al Muharraq, Salman Sharida kepada laman web Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com di Manama, semalam, dengan menambah, khidmat kesemua tonggak itu cuma dapat diperoleh semula pada Khamis ini.

“Persediaan kami terjejas tanpa mereka setelah kami turut kehilangan penjaga gol utama, Ali Hassan kerana kecederaan perut, Hamad Al Dakeel (betis) dan penyerang dari Brazil, Leandson Silva yang baru terbabit dengan kemalangan kereta,” katanya.

Salman juga tidak memperlekehkan kemampuan Kedah walaupun Muharraq mempunyai kelebihan gelanggang sendiri selain dengan reputasi gah selaku naib juara Piala AFC 2006 dan juara Liga Bahrain sebanyak 30 kali.

“Kami mesti mendapatkan kelebihan awal dengan memenangi perlawanan ini tetapi lawan tetap sebuah pasukan yang tersusun dan jika tidak bagus, mereka tidak akan sampai sejauh suku akhir Piala AFC ini,” katanya.

Muharraq bagaimanapun sempat mengadakan persediaan dengan beraksi dalam Liga Juara-juara GCC bulan lalu malah berhasrat menghadiahkan kemenangan untuk penyokong sendiri.

Marlon, penjaring terbanyak Liga M 2007-2008 dan Huggins sudah pun berhijrah ke Vancouver Whitecaps di Liga Bola Sepak Utama (MSL) Amerika Syarikat sementara Nelson pulang ke negara asal, Chile selepas membantu Kedah menjulang Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

Malah ketiadaan Marlon, penyerang St. Vincent dan Grenadines dan Nelson yang menyumbangkan lapan gol untuk membantu Kedah muncul naib juara Kumpulan D cukup dirasai oleh jurulatih, Azraai Khor Abdullah dalam persaingan kalah mati ini.

“Tugas dan cabaran kami lebih getir tanpa mereka tetapi kami tetap akan mencuba yang terbaik selepas mencapai sasaran awal dengan melepasi peringkat kumpulan. Sebarang keputusan yang bagus dalam suku akhir dianggap satu bonus bagi kami,” katanya.

Utusan Malaysia
16 September 2008 / 16 Ramadan 1429