Kalah kita bermaruah

http://www.blogger.com/img/blank.gif
KUALA LUMPUR – Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyifatkan kekalahan 2-3 kepada Manchester United, semalam sebagai kekalahan yang bermaruah.

Menurut Rajagobal, walaupun kalah, kemenangan tipis United ke atas skuad muda negara boleh dijadikan pencetus semangat kebangkitan bola sepak negara.

Katanya, kegopohan dan aksi teragak-agak jentera depan yang diterajui Zaquan Adha Abdul Razak, Mohd. Amri Yahyah dan Indra Putra Mahayuddin menafikan hasrat Malaysia sekurang-kurangnya mengikat juara Liga Perdana England itu.

“Keputusan perlawanan ini tetap menggembirakan saya. Saya berpuas hati kerana kita berjaya membolosi dua kali gawang United terutama ketika Amri menewaskan Edwin van der Sar.

“Para pemain mengambil setiap peluang yang ada, mereka beraksi dengan penuh keyakinan. Mereka menikmati perlawanan dengan pemain terbaik di dunia.

“Menentang pasukan terkuat di dunia bukanlah tugas mudah. Memang United menang tipis, tetapi kita harus sedar bahawa United datang ke sini bukan sekadar untuk menghiburkan peminat mereka.

“Mereka bermain untuk menang. Kita sendiri dapat melihat bagaimana aksi mereka yang pantas menjaringkan dua gol di babak pertama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, semalam.

United di depan menerusi jaringan Wayne Rooney (minit ke-70) dan Nani pada minit ke-27. Michael Owen menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.

Amri Yahyah menggamatkan 80,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan pada minit ke-45 dan gol penyamaan pada minit ke-51.

Tambah Rajagobal, pada awal perlawanan, para pemainnya sukar mencari rentak akibat permainan pantas pasukan lawan.

“Namun, apabila kita berjaya meraih gol menerusi Amri, keyakinan pemain semakin memuncak dan bangkit dengan permainan agresif di babak kedua.

“Ya... Mungkin banyak pertukaran pemain kita di babak kedua menjejaskan sedikit rentak permainan Malaysia sehingga terpaksa melepaskan gol kemenangan kepada lawan.

“Keputusan ini diharap dapat memberi kesan positif kepada peminat bola sepak tanah air.

“Apa yang saya harapkan ialah pasukan ini akan terus konsisten,” katanya.

Ditanya kemungkinan beliau akan memanggil pemain senior untuk perlawanan kedua menentang United, esok Rajagobal berkata, dia tidak akan membuat sebarang perubahan.

“Tidak... Tiada pemain lain yang akan dipanggil. Lagipun mustahil bagi mana-mana pemain untuk mengadakan latihan hanya sehari bagi menentang pasukan seperti United,” katanya.

"Saya berharap agar pemain kita mengambil peluang sebaik mungkin pada perlawanan ulangan Isnin ini (esok)," jelas Rajagobal.

Sebelum beredar daripada sesi sidang media tersebut, Rajagobal sempat memberi pesanan kepada Ferguson: "Saya harap anda dapat mengambil seorang dua pemain Malaysia untuk United."


Utusan Malaysia

0 Comments:

Post a Comment