JIKA orang Yahudi selalu bermegah dengan hari Sabtu sebagai hari kebesaran mingguan mereka, orang Islam pula dengan hari Jumaat yang disifatkan penghulu segala hari dan hari raya mingguan umat Muslimin.

Jumaat mendapat penghargaan istimewa berbanding hari lain sehingga dalam al-Quran dinamakan satu surah iaitu al-Jumu'ah yang diturunkan di Madinah dengan 11 ayat.

"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (al-Jumu'ah:9)

Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ia dinamakan surah al-Jumu'ah (hari Jumaat) kerana pada ayat 9, Allah Taala memerintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan urusan kerja masing-masing seperti berjual beli.

Kitab itu menerangkan, dalam ayat terbabit Allah Taala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad s.a.w serta memerintahkan supaya mengadakan satu solat khusus menandakan kebesaran hari Jumaat menggantikan sembahyang Zuhur.

"Dengan ayat ini dan berikutnya Allah Taala perintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja lain untuk mendengar khutbah dan mengerjakan solat Jumaat.

"Selesai solat Jumaat, mereka digalakkan untuk meneruskan usaha mencari rezeki sambil mengingati Allah.

"Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat," terang kitab itu.

Nabi s.a.w juga melalui hadisnya ada menjelaskan kemuliaan hari Jumaat sebagai hari raya mingguan umat Islam seperti dalam beberapa hadis yang dinukilkan dari kitab Ihya Ulumiddin karya Imam al-Ghazali.

Diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah, maksudnya: "Bahawa ahli dua kitab itu (orang Yahudi dan Nasrani), diberikan kepada mereka hari Jumaat, maka bertengkarlah mereka, lalu berpaling daripadanya. Dan diberi petunjuk kita oleh Allah Taala untuk menerima hari Jumaat itu dan dikemudiankan oleh Allah memberikannya kepada umat ini dan dijadikannya menjadi hari raya bagi mereka. Maka adalah umat ini menjadi manusia yang lebih utama didahulukan dan ahli kedua kitab itu menjadi pengikutnya."

Melalui hadis lain Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat, dijadikan Adam a.s., dia dimasuk ke syurga, diturunkan ke bumi, diterima taubatnya, dia meninggal dan berdirinya kiamat. Adalah hari Jumaat pada sisi Allah itu hari kelebihan. Begitulah hari Jumaat dinamakan oleh kalangan malaikat di langit iaitu hari memandang kepada Allah Taala dalam syurga." (Diriwayatkan Muslim dari Abu Hurairah)

Al-Ghazali dalam kitab terbabit berkata, hari Jumaat adalah hari besar dan agama Islam dibesarkan (dimuliakan) oleh Allah dengan sebab hari berkenaan.

Menurutnya, orang Islam dikhususkan dengan hari berkenaan dan diharamkan orang Islam melakukan urusan duniawi, malah setiap perbuatan yang menghalangi mereka daripada menghadiri masjid menunaikan solat Jumaat.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan atasmu solat Jumaat pada hariku ini, pada tempatku ini." (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Jabir)

Hadis berkenaan secara tegas memaklumkan kepada orang Islam mengenai kewajipan meraikan keistimewaan hari yang mulia itu dengan melakukan solat Jumaat. Sesiapa yang berkewajipan, tetapi tidak menunaikannya dikira berdosa.

Malah, Rasulullah s.a.w mengingatkan mereka yang sengaja meninggalkannya melalui sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa halangan, nescaya dicap oleh Allah pada hatinya." (Riwayat Ahmad)

Satu kisah diceritakan. "Datang seorang lelaki kepada Ibnu Abbas, menanyakan mengenai orang yang mati tidak menghadiri Jumaat dan solat Jumaat.

Lalu jawab Ibnu Abbas: "Dalam neraka."

Orang itu berulang kali menemui Ibnu Abbas selama sebulan lamanya, menanyakan yang demikian. Tetapi Ibnu Abbas tetap menjawab: "Dalam neraka."

Daripada hadis yang diriwayatkan Anas daripada Nabi s.a.w bahawa Nabi bersabda: "Datang kepadaku Jibril a.s dan pada tangannya sebuah cermin putih, seraya berkata: 'Inilah Jumaat, yang diwajibkan atas engkau oleh Tuhan engkau, untuk menjadi hari raya bagi engkau dan umat engkau sesudah engkau.'"

Lalu aku berkata: "Apakah yang ada untuk kami pada hari Jumaat itu?"

Jawab Jibril: "Engkau mempunyai waktu yang baik. Sesiapa berdoa padanya kebajikan, nescaya dianugerahkan dia oleh Allah atau dia tiada memperoleh bahagian, maka disimpankan oleh Allah bahagiannya yang lebih besar.

"Atau berlindung ia daripada kejahatan yang telah dituliskan kepadanya, nescaya dilindungi Allah yang lebih besar daripada kejahatan itu. Hari Jumaat adalah penghulu segala hari pada kita. Kita bermohon kepada Allah pada hari akhirat, akan menjadi hari kelebihan."

Lalu aku bertanya: "Mengapa demikian?"

Maka jawab Jibril a.s: "Sesungguhnya Tuhan engkau Azzawajalla telah menjadikan dalam syurga sebuah lembah yang luas, dari kasturi putih. Maka apabila datang hari Jumaat, nescaya turunlah ia dari syurga yang tinggi di atas kerusinya.

Lalu jelaslah ia kepada mereka, sehingga mereka memandang kepada wajahnya yang mulia." (Diriwayatkan as-Syafie dan at-Tabrani daripada Anas, isnad daif)

Dalam hadis lain dinyatakan: "Bahawa tiap-tiap hari Jumaat Allah Azzawajalla mempunyai enam ratus ribu orang yang dimerdekakan dari api neraka."

Pada hadis yang diriwayatkan Anas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila selamatlah hari Jumaat, nescaya selamatlah segala hari."

Bersabda Nabi s.a.w, maksudnya: "Bahawa neraka jahim itu menggelegak pada tiap-tiap hari sebelum tergelincir matahari pada tengah hari di puncak langit. maka janganlah kamu mengerjakan solat pada saat itu, selain hari Jumaat. Maka hari Jumaat itu adalah solat seluruhnya dan neraka jahanam tiada menggelegak padanya."

Berkata Kaab: "Bahawa Allah Azzawajalla melebihkan

Makkah dari segala negeri, Ramadan dari segala bulan, Jumaat dari segala hari dan Lailatul Qadar dari segala malam. Dan dikatakan bahawa burung dan haiwan yang berjumpa satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan: "Selamat, hari yang baik."

Nabi bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malamnya, nescaya dituliskan Allah pahala syahid dan dipeliharakan Allah daripada fitnah kubur."

Di dalam buku Fatwa-fatwa Terkini oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Syeikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin dan Syeikh Saleh bin Fauzan al-Fauzan ada menyatakan hari raya yang disyariatkan sudah diketahui kaum Muslimin iaitu Aidilfitri dan Aidiladha serta hari raya mingguan.

Hari raya mingguan yang dimaksudkan itu ialah hari Jumaat. Dengan ini tidak ragu lagi Jumaat adalah hari yang cukup besar dalam Islam.

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my



KEWAJIPAN bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj.

Begitu istimewa sekali ibadah solat sehingga Rasulullah SAW naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain.

Keistimewaan solat menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri.

Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik.

Kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dr. Fatimah berkata, kajian yang dijalankan buat masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh badan dan kolestrol.

Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga batin.

"Komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah.

"Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan kajian mengenai komposisi badan.

Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap komposisi badan.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan.

"Kami menjalankan kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya.

Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah.

Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna.

Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan.

"Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu," katanya.

Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri.

Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari.

Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.

Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat.

"Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.

Sujud

"Malah kita digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan kadar denyutan jantung paling rendah," katanya.

Ng Siew Chok yang menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap pergerakan manusia menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik.

Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma.

Kajian akan dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa tahiyat.

"Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi.

"Semasa solat, berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan seseorang berada dalam ketenangan," katanya.

Dalam kajian ini isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan kesan solat kepada isyarat otak.

Hasilnya, kata Siew Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.

Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan.

Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar.

"Dan biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan," katanya.

Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan.

Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan kajian yang dilakukan merangkumi otot utama yang penting kepada kesihatan manusia.

Pergerakan relatif

Ibadah solat kata Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang.

"Selain ibadah, solat boleh dianggap sebagai senaman fizikal yang sederhana yang melibatkan pergerakan badan seperti berdiri, tunduk, duduk dan sujud.

"Sakit pinggang merupakan masalah yang biasa berlaku bagi golongan dewasa dan mereka yang bekerja," katanya yang menjalankan kajian otot dalam solat.

Terapi senaman melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit pinggang.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang.

"Pergerakan rukuk hampir sama dengan senaman 'selamat pagi' yang bukan saja dapat membantu regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang kaki," katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit pinggang.

Kajian yang dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam memulihkan dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang.

Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang.

Selain itu, pergerakan fizikal atau senaman sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki.

Solat fardu yang dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki.

Kajian yang dijalankan menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk.

"Bagaimanapun banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut mengenai solat," katanya.

ARKIB : 30/07/2009
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my

Bulan Syaaban adalah bulan mulia iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab padanya Nabi Muhammad s.a.w. melakukan Isra' dan Mikraj dan bulan Ramadhan dimana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadhan salah satu dari rukun Islam yang mulia. Ketika bulan tersebut di hubungkait yang rapat kerana sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadhan.

Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan dari segala dosa dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati dari segala cacat dan bulan Ramadhan pula untuk memberi penerangan hati sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: ''Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis al-selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ''Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ''Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim dengan firmannya:

Yang bermaksud: Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulaang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke kaabah) itu adalah perintah yang benar dari tuhan mereka, dan Allah s.w.t. tidak sekali-kali lali akan apa yang mereka lakukan.


Oleh sebab bulan Syaaban adalah diantara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan yang tertentu, maka wajar sekali jangan kita biarkannya berlalu begitu sahaja tanpa mengerjakan amal-amal soleh yang telah dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w..

Diantara amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan oleh kaum muslimin didalam sepanjang bulan Syaaban adalah seperti berikut:

Berpuasa Sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud: Dari Aishah r.a., katanya : " ..... Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sebulan genap, sesuatu bulan melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Syaaban ".

Banyak melakukan amalan takwa dan taat.

Menahan dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Barangsiapa mengagungkan bulan Syaaban dan bertakwa kepada Allah s.w.t. dan melakukan ketaatan kepadanya dan menahan diri berbuat maksiat, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memberi keamanan kepadanya dari kemalangan-kemalangan mahupun penyakit-penyakit yang terjadi pada tahun itu seluruhnya ".

Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat-ibadat seperti membaca Al-Quran, bertaubat, beristiqafar, berzikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: " Barangsiapa menghidupkan malam daripada dua hari raya dan malam pertengahan daripada bulan Sya'ban, hatinya tidak akan mati, manakala hati-hati orang lain mati ".

Memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi.

Bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim.

Melakukan amal-amal kebajikan serta memohon keampunan dua ibu-bapa.

Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. semoga terhindar dari segala bala bencana, mala petaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, kaum muslimin dan muslimat, bangsa dan negara.

Berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. disetiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.


Beramallah menurut keimanan masing-masing kalau tidak dapat dilaksanakan semua janganlah ditinggalkan semuanya, lebihan umur kita yang masih tinggal sedikit lagi, hampir sampai ke penghujungnya. Rebutlah amal-amal sebanyak-banyak yang boleh, bertaubatlah kepada Allah dosa-dosa yang banyak dengan segala kesungguhan untuk bekal kita di akhirat, kerana yang akan pergi tidak pulang lagi.

“ Sesiapa yang menghendaki(dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikkan dunia itu (sekadar yang kami tentukan) dan ia tidak akan memperolehi sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah as-Syura: 30).

Rujukan:

Khutbah Masjid Negara Kuala Lumpur(2002)

Teks Sdr Abdul Ghani Yaacob pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Cenderahati yang akan dinyatakan ini tidak dijual dimana-mana kedai atau pasaraya. Anda tidak perlu membeli malah boleh menghadiahkannya pada setiap saat dan hari. Namun begitu, kelapan-lapan cenderahati ini adalah yang paling terindah dan tidak ternilai bagi orang-orang yang anda sayangi.

1)Kehadiran.
Kehadiran orang yang dikasihi ialah satu cenderahati yang tidak ternilai harganya. Selain itu, anda juga boleh menggunakan cara berutus surat, telefon,gambar atau faks. Sekurang-kurangnya anda sentiasa berada disisinya. Anda dan dia dapat berkongsi perasaaan, perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh dan intensif, Oleh yang demikian, kehadiran yang anda wujudkan juga adalah sangat penting. Jadikanlah kehadiran anda sebagai pembawa kebahagiaan.

2)Mendengar.
Tidak ramai yang mampu memberikan cenderahati ini, sebab kebanyakan orang lebih suka didengarkan daripada mendengarkannya. Sejak dari dahulu lagi kita ketahui bahawa sikap saling sedia memdengar amat diperlukan untuk keharmonian dalam hubungan sesama manusia.

Berikan cenderahati ini untuknya, dengan mendengar segala curahan hatinya terhadap anda. Secara langsung anda juga telah mewujudkan kesabaran dan sikap rendah hati. Untuk menjadi pendengar yang baik, pastikan anda dalam keadaan betul-betul selesa dan boleh menangkap setiap apa yang akan disampaikan. Tataplah wajahnya. Tidak perlu mencela, mengkritik, apalagi mengulasnya. Biarkan dia yang menjelaskannya. Ini memudahkan anda memberi tanggapan yang tepat selepas itu. Tidak perlu berbincang atau membuat penilaian. Sekadar ucapan terima kasih pun, sudah cukup memadai untuknya.

3)Diam.
Seperti kata-kata. di dalam diam juga ada kekuatan. Diam juga boleh digunakan sebagai hukuman, mengusir atau membingungkan orang lain, tetapi lebih daripada segalanya. Diam juga boleh menunjukkan persaan cinta kita pada seseorang kerana memberinya ‘ruang’. Keterlaluan jika sehari-hari kita sudah biasa menasihati, mengatuir dan mengkritik bahkan membebelnya.

4)Kebebasan.
Mencintai seseorang bukan bermaknak memberi kita hak sepenuhnya untuk memiliki atau mengatur kehidupan orang yang bersangkut paut dengan anda. Bolehkah kita mengaku kita mencintai seseorang jika kita selalu menyimpannya dalam hati? Memberi kebebasan adalah salah satu perkara yang boleh mewujudkan cinta. Kebebasan bukanlah bermakna anda bebas berbuat sesuka hati. Lebih dalam daripada itu, memberi kebebasan ialah memberikan kepercayaan sepenuhnya untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan atau dilakukan olehnya.

5)Keindahan.
Siapa yang tidak bahagia, jika orang yang sayangi tiba-tiba tampil lebih kacak atau cantik? Penampilan yang segak dan rupawan juga merupakan salah satu cenderahati juga. Bahkan tidak salah jika anda menghadiahkannya setiap hari! Kecantikan diri ialah lambang peribadi, anda pun boleh menghadiahkannya dengan sesuatu yang cantik untuk suasana rumah. Misalnya, vas dan bunga segar cantik di ruang tamu atau meja makan yang berhias indah.

6)Tanggapan Positif.
Tanpa sedar, kita sering memberikan penilaian negatif tehadap pemikiran, sikap atau tindakan orang yang kita sayangi. Seolah-olah tidak ada yang benar daripada dirinya dan kebenaran mutlak hanya kepada kia. Kali ini, cuba hadiahkan tanggapan positif. Nyatakan dengan jelas dan ikhlas. Cubalah ingat, berapa kalikah dalam seminggu anda mengucapkan terima kasih atas segala hal yang dilakukannya demi anda. Cuba ingatkan semula pernahkah anda memujinya. Kedua-dua hal itu ialah hadiah cenderahati yang sering tidak dilupakan.

7)Sedia Mengalah.
Tidak semua masalah boleh menjadi bahan pertengkaran. apatah lagi sehingga menjadi pergaduhan yang hebat. Seharusnya anda perlulah pertimbangkan, apakah wajar sebuah hubungan cinta dikorbankan sehingga menjadi kucar-kacir hanya disebabkan persoalan itu? Apabila anda ada memikirkan hal ini, bermakna anda telah bersiap sedia untuk memberikan cenderahati kepadanya atas sebab sedia mengalah. Anda tentu akan merasa kesal atau marah jika sidia tidak menepati janji, tepai jika kesalahan itu ialah kali pertama, kenapa itu dijadikan punca pertengkaran anda hingga berlarut-larutan? Kesediaan anda untuk mengalah juga dapat meluntur rasa sakit hati dan menyedarkan kita bahawa tidak ada satupun manusia yang sempurna di dunia ini.

8 ) Senyuman.
Percaya atau tidak, senyuman mempunyai kekuatan yang luar biasa. Senyuman, kelebihan yang diberikan tulus ikhlas, boleh menjadi pencair hubungan yang beku, pemberi semangat ketika sedang putus asa, menceriakan suasana muram juga menjadi ubat penenang jiwa ketika keresahan. Senyuman juga merupakan isyarat untuk membuka diri dengan dunia sekeliling kita. Bilakah hari terakhir anda menghadiahkan senyuman manis??

Hadiahkan lah cenderahati ini kepada sesiapa sahaja yang anda ini berikan…

Semoga hidup anda akan lebih bermakna dengan pemberian cenderahati ini.

K'Rabat - Keinsafan



Sayup terdengar hujan mencurah ke bumi
Kini terasa memecah kesunyian malam
Dan aku di sini sendiri dibaluti resah
Dibayangi sesal yang tak sudah

Renung langit sepi tiada purnama
Di dalam kelam ku lihat bayangku sendiri
Terpaku membisu tanpa suara dan segala
Apa petanda, apa rahsia

( korus )
Oh Tuhanku Yang Maha Esa
Maha Penyayang Maha Pemurah
Andainya malam yang begini
Memberi pengertian untukku
Mencari hidayahmu...

Maka kutadahkan setulus
Pengampunan dan pengharapan
Untuk aku menebus dosa-dosa semalam

Cukup setakat ini... aku merasa
Terasing terhukuman dalam sengsara
Balasan dari kehancuran
Yang aku ciptakan

Dan kini ku mengerti
Antara dosa pahala
Yang mana lebih utama
Dalam meniti hidupan dan hari kematian
oh...

( solo )

( ulang korus & 1 )

( 1 )
Andai malam ini satu peringatan
Bersyukurku pada Illahi
Andai malam ini satu kesudahan
Ku pintakan... satu pengaduan
Untukku menyudahkan kalimah
Terakhir...

Kalah kita bermaruah

http://www.blogger.com/img/blank.gif
KUALA LUMPUR – Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyifatkan kekalahan 2-3 kepada Manchester United, semalam sebagai kekalahan yang bermaruah.

Menurut Rajagobal, walaupun kalah, kemenangan tipis United ke atas skuad muda negara boleh dijadikan pencetus semangat kebangkitan bola sepak negara.

Katanya, kegopohan dan aksi teragak-agak jentera depan yang diterajui Zaquan Adha Abdul Razak, Mohd. Amri Yahyah dan Indra Putra Mahayuddin menafikan hasrat Malaysia sekurang-kurangnya mengikat juara Liga Perdana England itu.

“Keputusan perlawanan ini tetap menggembirakan saya. Saya berpuas hati kerana kita berjaya membolosi dua kali gawang United terutama ketika Amri menewaskan Edwin van der Sar.

“Para pemain mengambil setiap peluang yang ada, mereka beraksi dengan penuh keyakinan. Mereka menikmati perlawanan dengan pemain terbaik di dunia.

“Menentang pasukan terkuat di dunia bukanlah tugas mudah. Memang United menang tipis, tetapi kita harus sedar bahawa United datang ke sini bukan sekadar untuk menghiburkan peminat mereka.

“Mereka bermain untuk menang. Kita sendiri dapat melihat bagaimana aksi mereka yang pantas menjaringkan dua gol di babak pertama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, semalam.

United di depan menerusi jaringan Wayne Rooney (minit ke-70) dan Nani pada minit ke-27. Michael Owen menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84.

Amri Yahyah menggamatkan 80,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan pada minit ke-45 dan gol penyamaan pada minit ke-51.

Tambah Rajagobal, pada awal perlawanan, para pemainnya sukar mencari rentak akibat permainan pantas pasukan lawan.

“Namun, apabila kita berjaya meraih gol menerusi Amri, keyakinan pemain semakin memuncak dan bangkit dengan permainan agresif di babak kedua.

“Ya... Mungkin banyak pertukaran pemain kita di babak kedua menjejaskan sedikit rentak permainan Malaysia sehingga terpaksa melepaskan gol kemenangan kepada lawan.

“Keputusan ini diharap dapat memberi kesan positif kepada peminat bola sepak tanah air.

“Apa yang saya harapkan ialah pasukan ini akan terus konsisten,” katanya.

Ditanya kemungkinan beliau akan memanggil pemain senior untuk perlawanan kedua menentang United, esok Rajagobal berkata, dia tidak akan membuat sebarang perubahan.

“Tidak... Tiada pemain lain yang akan dipanggil. Lagipun mustahil bagi mana-mana pemain untuk mengadakan latihan hanya sehari bagi menentang pasukan seperti United,” katanya.

"Saya berharap agar pemain kita mengambil peluang sebaik mungkin pada perlawanan ulangan Isnin ini (esok)," jelas Rajagobal.

Sebelum beredar daripada sesi sidang media tersebut, Rajagobal sempat memberi pesanan kepada Ferguson: "Saya harap anda dapat mengambil seorang dua pemain Malaysia untuk United."


Utusan Malaysia


ANDA mungkin antara wanita bertuah. Cantik, berjaya dan hidup mewah kerana memiliki kerjaya hebat. Kalau sudah berkeluarga, anda bagaikan menghampiri kesempurnaan kerana dianugerahi suami penyayang serta dilimpahi kemewahan. Ringkasnya, apa lagi yang anda dambakan dalam hidup kerana semuanya sudah dimiliki.

Percaya atau tidak, jika pada zahirnya anda kelihatan sempurna, hakikatnya dalam hubungan bersama suami, masih banyak kekurangan diri yang perlu diperbaiki.

Hubungan dengan suami atau teman lelaki ada ketikanya melalui fasa agak sukar kerana berlaku salah faham, kurang prihatin atau silap tanggapan terhadap sesuatu perkara.

Ia mungkin nampak kecil hanya disebabkan wanita kurang memahami suami atau teman lelaki atau mungkin, suami atau teman lelaki yang tidak faham naluri dan kehendak wanita.

Dalam hal ini, ada sesuatu harus dipelajari kedua-duanya untuk mencapai persefahaman. Panduan berikut mungkin boleh digunakan untuk lebih memahami pasangan:

# Wanita suka melihat sesuatu perkara remeh bagi lelaki itu sebagai perkara besar, contohnya soal pilih gerai makan.

Wanita cerewet memilih gerai makan sehingga suka tarik muka jika gerai itu tidak berkenan di hati, sedangkan lelaki anggap soal makan agak mudah, boleh makan di mana saja.

# Wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak memikirkan perkara penting.

# Wanita suka diberi perhatian dan ada kalanya manja tidak bertempat. Sikap ini menyebabkan mereka 'syok sendiri' dan suka dipuji. Jika tidak dipuji mereka mungkin merajuk.

# Ada wanita terlalu perasan dan mudah menjeruk perasaan kerana sering mengharapkan lelaki memahami mereka sedangkan mereka tidak mahu memahami lelaki.

# Lelaki tidak suka menunjukkan perasaan mereka melalui kata-kata, tetapi hanya memerhati. Wanita harus terima hakikat itu.

# Ada wanita suka membeli-belah terlalu lama hingga membosankan lelaki, menyebabkan lelaki malas dan tidak beri perhatian pada sikap wanita yang suka menghabiskan masa untuk tujuan itu.

# Ada wanita terlalu banyak cakap mengenai diri orang lain dan mudah ke arah 'mengata dan mengutuk' jika dilayan kata-kata mereka, ini menyebabkan lelaki suka berdiam diri.

# Lelaki lebih suka menyuarakan perasaan hati mereka melalui perbuatan dan bukan perkataan.

# Lelaki suka berdiam diri dan tidak suka bising, tetapi tidak bermakna mereka tidak prihatin kepada anak dan isteri.

# Suami tidak suka diperintah, dikongkong dan dikawal. Jika isteri atau teman wanita melakukan 'kawalan' kepada lelaki, dia akan bosan dan tidak akan memberi perhatian kepada apa juga permintaan wanita.

# Adakalanya wanita kurang bijak menunjukkan kasih sayang kepada suami, tetapi hanya mengharapkan suami memberi kasih sayang.

# Jangan terlalu bergantung pada suami dan teman lelaki pada perkara yang mampu wanita lakukan, tetapi ada pula wanita yang suka bergantung harap sangat kepada suami dengan tujuan suami sentiasa berada di sisi mereka. Ini mungkin tidak digemari suami atau teman lelaki.

# Wanita mesti memahami diri mereka sendiri dan peranan mereka serta mengubah perangai mengikut peringkat umur dan keperluan.

Jika masih muda elok juga merajuk, tetapi jika sudah mempunyai anak ramai dan berusia, elakkan perbuatan itu kerana ia tidak memberi faedah.

# Sesetengah wanita suka bertanya itu dan ini kepada suami atau teman lelaki, tetapi tidak suka kepada jawapan diberikan mereka. Ini membuatkan suami atau teman lelaki bosan melayan soalan wanita.

# Wanita tidak perlu menunjuk-nunjuk kecantikan, kepandaian dan kekayaan mereka. Kelebihan itu mungkin memperbodohkan lelaki sehingga mereka tidak berminat melayan kerenah wanita sedemikian.

myMetro » Hati