Fenomena Big Bang

GENEVA - Sekumpulan saintis tajaan Pertubuhan Eropah Bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) akan melancarkan satu eksperimen yang dibimbangi boleh memusnahkan dunia, esok.

Eksperimen paling kompleks itu bertempat di dalam sebuah terowong sepanjang 27 kilometer dan pada kedalaman 100 meter di bawah permukaan Bumi di sempadan Perancis-Switzerland.

Ia cuba mengulangi teori Letupan Besar atau Big Bang yang menurut sains, membawa kepada pembentukan alam semesta.

Eksperimen mega disifatkan sukar dan berbahaya yang dibiayai CERN itu mendapat lampu hijau selepas persediaan hampir dua dekad dengan menelan belanja AS$10 bilion (RM34.3 bilion).

Ia memerlukan kepakaran sekumpulan 5,000 saintis, jurutera dan juruteknik dari kira-kira 36 buah negara yang berusaha memasti-kan eksperimen itu berjaya dilakukan.

BEBERAPA saintis melihat skrin komputer di pusat kawalan Pertubuhan Eropah Bagi Penyelidikan Nuklear (CERN) di Geneva pada Rabu lalu.

Sekumpulan saintis yang menyediakan mesin pemecut jirim terbesar dikenali sebagai Large Hadron Collider (LHC) itu turut menerima ancaman bunuh.

Menurut sebuah akhbar semalam, ancaman bunuh itu dihantar oleh sekumpulan pengkritik yang bimbang eksperimen tersebut mampu memusnahkan dunia.

Eksperimen yang menggunakan mesin itu akan memecut partikel proton hampir menyamai kelajuan cahaya bersamaan 186,282.397 batu sesaat.

Partikel tadi akan dihentam dengan partikel lain yang menghasilkan satu letupan amat kuat mirip Big Bang.

Apabila pertembungan itu berlaku, saintis-saintis berharap ia dapat menghasilkan semula keadaan ketika detik permulaan selepas Big Bang iaitu semasa alam semesta mula terbentuk.

TEROWONG yang menempatkan mesin pemecut jirim.

Bagi memastikan semua aspek berhubung letupan itu dipantau dan dirakam, 60,000 buah komputer akan digunakan.

“Ia akan menganalisis eksperimen itu seperti sebuah kamera digital gergasi berkapasiti 150 juta piksel dan berupaya merakam gambar pada kelajuan 600 juta kali sesaat,” kata Ketua Eksperimen CERN, Ian Bird.

“Kami sedang membuka sempadan baru dalam bidang sains. Bagaimanapun, teknologi, kaedah dan keputusan eksperimen itu akan diaplikasi dalam bidang industri,” kata penyelia rangkaian komputer itu, Ruth Pordes.

Menurut teori Big Bang, alam ini pada asalnya bercantum padu, kemudian berlaku satu letupan yang kuat pada 10 hingga 20 bilion tahun dahulu.

Hasil daripada letupan yang dinamakan Big Bang itu berlaku proses pengembangan serta mewujudkan angkasa lepas, galaksi, matahari dan seumpamanya.

Teori ini pada asalnya diutarakan oleh Albert Einstein dan dimajukan oleh pakar fizik Rusia, Alexander Friedmann.

Walaupun projek CERN itu dipercayai bermanfaat kepada tamadun manusia, sekumpulan saintis telah memfailkan saman di Mahkamah Hak-Hak Asasi Manusia Eropah bagi menghalangnya.

Mereka bimbang projek CERN menghasilkan letupan di luar kawalan yang dibimbangi lebih kuat daripada bom nuklear dan boleh mendatangkan kemusnahan pada skala global.

BULATAN ini menunjukkan lokasi terowong bawah tanah yang menempatkan mesin pemecut jirim terbesar di dunia di sempadan Perancis-Switzerland.


Bagaimanapun, seorang profesor di Universiti Manchester yang turut terlibat dengan projek CERN, Brian Cox berkata, kebimbangan berhubung eksperimen itu adalah tidak berasas.

“Sesiapa yang berfikir bahawa mesin itu akan memusnahkan dunia adalah mengarut,” katanya.

Namun, bahaya mesin itu masih dianggap satu realiti kerana tiada siapa yang tahu secara terperinci sekuat mana tenaga yang dihasilkan apabila jirim proton dalam sesuatu atom dimusnahkan. - Agensi

Petikan

Itu adalah berita Kosmo semalam 10 September 2008. Saya sedang memikirkan kita sebagai Muslim bagaimana kita mahu mengaplikasikan ayat Allah yang berbunyi

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (al-Anfaal:60)

Kerana kita hanya menjadi pengikut manusia yang membabi buta, tidak menjadi hamba Allah yang setia.

Kerana kita hanya menjadikan al-Quran bahan bacaan harian, bukan sebagai panduan kehidupan dan kemajuan.

Kerana kita saling berdengki sesama muslim, saling menjatuhkan, tidak melihat perbezaan sebagai medium untuk menciptakan momentum kejayaan.

Namun,

Kita masih punyai waktu, pastikan semua orang mengambil posisi masing-masing…berusahalah sebelum terlambat.

0 Comments:

Post a Comment