Puasa Adalah Perisai



MENJALANI ibadah puasa bermakna bermulalah kita menjalani modul latihan psikologi bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang berkaitan dengan jiwa.

Memulakan ibadah puasa bererti menyemai benih iman dan takwa dalam diri yang boleh menjadi perisai dalam mengharungi kemelut hawa nafsu. Kejayaan mengawal nafsu bermakna kejayaan kita mengawal personaliti dan tingkah laku daripada pelbagai angkara maksiat yang sentiasa menyelubungi hidup kita.

Kemuncak kejayaan diri dalam konteks ini adalah kejayaan mendidik hati dan perasaan sekali gus menjelmakan rasa kasih sayang, belas kasihan, tolong-menolong antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa' - Surah al-Baqarah: 183.

Mendidik diri sebagai hamba Allah bererti menjadikan diri menurut dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah terhadap kewajipan berpuasa.

Menjadikan diri sebagai hamba Allah bermakna menjauhkan daripada menjadikan diri sebagai hamba dunia, hamba kepada ketamakan dan kerakusan dan hamba kepada nafsu syahwat. Sukar bagi diri kita untuk mengawal perasaan apabila berhadapan dengan pelbagai nikmat yang ada di sekeliling kita.

Bolehkah kita mengawal perasaan kita dengan menjimatkan perbelanjaan apabila berhadapan dengan juadah di bazar Ramadan yang dirasai semuanya enak-enak belaka?

Adakah kita berasa memadai dengan membeli hanya satu dua jenis sahaja atau pun membeli sehingga tidak cukup tangan? Allah mengingatkan dalam firmanNya yang bermaksud: 'Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan' - Surah al-A'raf: 31.

Dalam hal ini, Rasulullah menegaskan, daripada Anas katanya: 'Bahawa Rasulullah berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat. Sekiranya tiada rutab, maka hanya dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka Rasulullah minum beberapa teguk air' - hadis riwayat Ahmad dan al-Timizi.

Mendidik jiwa bagi orang berpuasa adalah menjadikan puasa Ramadan sebagai perisai kejahatan. Daripada Abu Ubaidah ra beliau berkata bahawa saya dengar Rasulullah bersabda: "Puasa adalah perisai, selama dia tidak memecahkannya" - hadis riwayat al-Nasai dan Ibnu Majah. Perisai bererti menjadikan puasa sebagai imunisasi bagi mengawal diri daripada dicerobohi syaitan.

Dalam melaksanakan ibadah puasa, segala perbuatan dan tingkah laku kita perlu dijaga termasuk menjaga penglihatan dan pemandangan daripada melihat perkara buruk yang mendatangkan dosa.

Kita dikehendaki sentiasa mengawal percakapan kita daripada bercakap kosong, berbohong, mengumpat dan mengata perkara yang boleh menyentuh peribadi orang lain. Apatah lagi caci maki yang menyakiti hati.

Jika disakiti, ingatkan bahawa kita sedang berpuasa. Kita juga mesti mengawal pendengaran kita daripada mendengar ungkapan kotor dan buruk.

Mungkin ada sangkaan bahawa puasa boleh melemahkan jiwa dan jasmani. Anggapan begini sebenarnya meleset kerana ibadah puasa boleh melembutkan perasaan dan mencetuskan tenaga dalam diri manusia, menguatkan akal dan diperteguhkan rohaniah.

Berpuasa Ramadan sebulan dalam setahun merupakan cara menguatkan kesihatan badan. Sebaliknya, kelemahan diri adalah sentiasa menurut nafsu dan sentiasa gagal mengawal kemahuan.



Seorang yang berpuasa akan melatih diri agar sentiasa amanah terhadap dirinya dan orang lain. Di samping itu, dia akan merasai bahawa jiwa raganya sentiasa diawasi Allah pada setiap masa dan ketika.

Jiwa merdeka yang berjaya dididik melalui puasa akan mencernakan niat yang ikhlas yang mana segala apa yang dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah, merasai kelazatan ibadah, yakin dengan janji syurga, jiwa damai dan sentiasa mengukuh silaturahim, bersimpati sesama manusia dan sentiasa berusaha untuk melakukan kebajikan.

KOSMO
18 September 2008

0 Comments:

Post a Comment